Tuesday, June 24, 2008

Biodata As-Syekh Abul A'la al-Maududi

Kenali al-‘Allamah Abi al-A’la al-Maududi

Beliau merupakan seorang ‘alim, malah seorang pemikir Islam kontemporari yang terulung serta pengasas al-Jama’ah al-Islamiyyah di Benua India. Namanya adalah Abu al-‘A’la al-Maududi dan dilahirkan di Uranj Abad di wilayah Haider Abad pada tahun 1321 H ( 1903 M ).

Syeikh al-Maududi merupakan keturunan salah seorang dari perawi hadith yang dinamakan Maudud. Beliau telah datang ke India dalam rombongan tentera Muhammad al-Qasim ath-Thaqafi. Semenjak kecil Syeikh al-Maududi telah melibatkan diri dalam gerakan Islam di India ketika itu yang sentiasa memperjuangkan hak asasi orang Islam. Beliau juga bekerja dalam bidang kewartawanan dan terlibat sebagai wartawan dan editor di akhbar seperti ‘Jabal Nur’, ‘Delhi’, ‘Haidar Abad’.

Pada bulan Dzul Qa’edah 1356 H ( Januari 1938 M ) beliau berpindah ke Punjab setelah diajak oleh Penyair Muhammad Iqbal. Tidak lama selepas itu beliau berpindah ke Lahore di Pakistan pada Rejab 1360 H ( Ogos 1941 M ). Ketika itu beliau bersama 75 orang dari pelbagai bidang mengumumkan pembentukan al-Jama’ah al-Islamiyyah dan beliau telah dicalonkan sebagai Amir yang pertama. Pergerakan ini sejak itu telah menjadi pergerakan Islam yang terkuat di benua India.

Syeikh al-Maududi telah mengarang banyak kitab terutamanya dalam lapangan pemikiran Islam. Bahkan pemikirannya hampir sama dengan pemikiran asy-Syahid Hasan al-Banna dan asy-Syahid Dyed Qutb ketika itu, namun kelebihan beliau adalah kerana kajiannya yang mendalam dan ilmiah bahkan kebanyakan penulisannya menjawab terhadap musuh-musuh Islam seperti Yahudi, Nasrani, Hindu, Sekularisme dan Qadiyaniyyah.

Beliau telah dipenjarakan beberapa kali selepas terdirinya Negara Pakistan. Bahkan beliau pernah diarahkan untuk dihukum bunuh pada tahun 1953 M namun ini telah menggegarkan Negara dan melibatkan campur tangan ramai ulamak-ulamak besar untuk menghentikan hukuman tersebut.

Syeikh al-Maududi juga telah memainkan peranan yang besar dalam menguatkan al-Jama’ah al-Islamiyyah dan meluaskan pengaruhnya dengan kekuatan beliau berhujah dan meyakinkan pihak lain serta dengan pendiriannya yang tegas apabila berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Beliau juga berpandangan agar Pakistan dipisahkan terus dari India supaya umat Islam di India tidak lagi menjadi golongan minority dan ditindas dan inilah realiti yang berlaku sekarang.

Antara kitabnya yang terkenal adalah ‘ar-Riba wal Hijab’ , ‘Dauru Syabab al-Muslim’, ‘al-Usus al-Akhlaqiyyah lil Harakah al-Islamiyyah’, ‘Manhaj Taghyir al-Islami’ , ‘al-Mustolahat al-Arba’ah’. Seterusnya kitab tafsir beliau ‘Tarjaman al-Qur’an’ yang telah diterjemahkan ke beberapa bahasa. Beliau telah meletakkan jawatan dari kepimpinan al-Jama’ah al-Islamiyyah dan menyerahkannya kepada Tufail Muhammad dan menumpukan sepenuh masanya untuk mengarang dan diskusi sehinggalah beliau meninggal pada 1 Dzul Qa’edah 1399 H ( 22 September 1979 M ).

( suntingan dari Internet dan kitab A’lam al-Harakah al-Islamiyyah )

No comments: