Thursday, November 29, 2007

Bersama T.G Prof. Dr Haron Din


Perihal santau di kalangan orang Melayu

Soalan:

Dalam masyarakat Melayu sering disebut orang perkataan santau. Apakah santau? Wujudkah santau dalam alam nyata? Benarkah ada orang boleh buat santau untuk dijual dan dikenakan kepada orang lain?

MASROH HAMDAN,
Padang Rengas


Jawapan:

Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya di Nusantara. Penyakit yang
tergolong dalam nama santau itu wujud.

Penyakit itu biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan, berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang.

Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, disekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Pesakit jenis ini biasanya akan terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka mereka beralih kepada rawatan alternatif.

Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena penyakit santau.

Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.

Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat bisa.

Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan), dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus.

Selepas itu ia dikatakan melalui proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan ia adalah santau yang sebenarnya.

Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang.

Adakah orang yang sanggup membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan.

Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?

Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya.

Berubatlah dengan cara yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya, penyakit akan sembuh.

Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah mempercayainya.

Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari kedengkian manusia.

Wallahu a'lam.


shahr albatnani



Thursday, November 22, 2007

Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku

Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku
Ustaz Zainudin Hashim
Thu | Nov 22, 07 | 3:00:45 pm MYT

Kenapa Allah SWT menurunkan bala ke atas hamba-Nya? Mengapa ia tidak ditimpakan ke atas generasi akan datang? Adakah bala yang ditimpakan itu membuktikan kemarahan Allah ke atas diri kita yang terpaksa menanggung risiko akibat perbuatan orang lain?

Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT.

Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu.

Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak.

Tapi apakah sebenarnya bala itu? Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT.

Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi).

Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~.

Kesalahan yang patut terima hukuman

Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu.

Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah.

Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu.

Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.

Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya.

Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama.

Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah, program hiburan keterlaluan walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan ulama khususnya para mufti seperti JomHeboh, Mentor musim kedua, Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan banyak lagi.

Cuba kita perhatikan reaksi manusia selepas tamat program-program seumpama itu, laporan akhbar arus perdana menyebut, 70 pasangan Melayu daripada peringkat usia 15-40 tahun disaman atas pelbagai kesalahan hingga ibu bapa mereka turut dipanggil ke pejabat agama.

Kesalahan mereka yang dikenal pasti kerana meminum arak, berkhalwat dan bermacam-macam jenis maksiat yang canggih-canggih, ini tidak termasuk laporan yang menyebut 21 kes anak luar nikah berlaku dalam tempoh sebulan baru-baru ini.

Kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda yang sanggup menjerut leher kedua anak lelakinya dengan wayar seterika hingga membawa kepada kematian.

Laporan akhbar arus perdana juga ada menyebut menyebut mengenai gejala samseng pelajar-pelajar perempuan yang memukul, menerajang rakan mereka di alat sulitnya hingga menyukarkannya untuk menduduki peperiksaan SPM, terdapat juga gejala samseng ini menular di sekolah-sekolah menengah hingga ada pelajar perempuan yang mengugut rakan mereka untuk menyebarkan gambar bogelnya setelah dia dipaksa berbuat demikian atas kesalahan yang kecil dan bermacam-macam lagi.

Terbaru seperti yang dilaporkan muka surat depan akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 (Rabu) yang memaparkan gambar-gambar model yang kononnya mempamerkan aksesori barangan kemas pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007. Persoalannya adakah pihak editorial BH tidak ada sensitiviti mengenai penampilan para gadis yang mendedahkan aurat apatah lagi pada majlis hiburan yang mengundang bala daripada Allah SWT.

Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang mengundang pemain tenis nombor dua dan lapan dunia, Rafeal Nadal dari Sepanyol dan Richard Gasquet dari Perancis, masalahnya dari paparan iklan terdapat penaja arak Heineken di gelanggang permainan tersebut, apatah lagi perlawanan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, DatoĆ¢€™ Seri Najib Razak dan isteri, Menteri Belia dan Sukan serta orang-orang kenamaan.

Apa untungnya perlawanan itu diadakan di Malaysia, arak menjadi antara penaja, isteri TPM juga sibuk hendak bersalam dengan pemain-pemain tersebut dengan penampilan yang tidak selari dengan ajaran Islam Hadhari, para penonton juga tidak kurang yang berpakaian tidak senonoh dengan memakai pengikat kepala tertulis Nadal.

Tidakkah orang-orang besar negara seperti TPM rasa bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islan berlaku di hadapan mata?

Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat, tidakkah kita perasan mengapa Allah sudah mula menurunkan banjir kilat dan hujan lebat di negeri Johor, sama-samlah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan yang telah kita buat.

Faktor atau punca berlaku bala

Dalam kesempatan ini, forum agama cuba menyelongkar pendekatan daripada hadis-hadis sohih Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad yang lalu yang menyebut secara jelas faktor, sebab atau punca berlaku bala yang dikirim oleh Allah SWT ke atas umat baginda:

1- Ilmu Islam akan beransur hilang sedikit demi sedikit.

2- Umat Islam sanggup mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam tindakan, teladan, pertuturan dan cara hidup mereka.

3- Muncul golong anti hadis (yang tidak dibendung).

4- Umat Islam yang terlalu banyak bergelumang dalam keseronokan.

5- Terlampau mewah.

6- Menghimpun harta sebanyak mungkin (hingga lupa untuk menggarap ilmu agama).

7- Tipu menipu dalam perkara dunia.

8- Saling bertengkar dalam urusan remeh-temeh (yang sepatutnya boleh dimaafkan).

9- Tersebar luas hasad dengki serta hasut menghasut di kalangan mereka.

10- Islam dianggap sebagai agama asing atau berdagang di negara umat Islam sendiri.

11- Berleluasa amalan rasuah dengan pelbagai bentuk dan helah.

12- Orang yang baik terlalu sedikit, malah orang yang jahat semakin ramai.

13- Muncul orang yang tidak peduli sumber harta yang diperolehinya.

14- Riba wujud di mana-mana.

15- Ramai yang minum arak dan menamakannya sebagai bukan arak.

16- Golongan lelaki semakin sedikit dan golongan wanita semakin ramai.

17- Golongan lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya.

18- Ibu melahirkan tuannya.

19- Bangunan pencakar langit.

20- Muncul ramai ahli ibadat tapi jahil dan ramai golongan ulama tapi fasiq.

21- Orang yang berpegang dengan Islam bagai menggenggam bara api.

22- Berlaku peperangan demi peperangan.

23- Masa akan menjadi singkat.

24- Muncul galian-galian bumi.

25- Ujian yang dahsyat terhadap iman.

26- Peperangan di kawasan sungai Furat kerana menyebut kekayaan.

27- Ketiadaan iman untuk bersolat jamaah.

28- Al-Quran akan hilang dan ilmu akan diangkat menghadap Allah.

29- Bermegah-megah dengah keindahan masjid dan kosong dengan pengisian agama.

30- Menggadai agama kerana dunia.

31- Pelaksanaan haji dan umrah bukan kerana Allah.

32- Harta negara bertukar tangan di kalangan pemimpin.

33- Sesuatu amanah dianggap sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.

34- Bayaran zakat dianggap sebagai denda/saman.

35- Suami yang terlalu tunduk kepada isteri.

36- Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu mereka.

37- Muncul ramai orang yang patuh dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kawan dan rakan.

38- Golongan bapa yang hampa kerana disia-siakan oleh anak-anak mereka sendiri.

39- Berlaku pertengkaran dalam masjid.

40- Apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua sesuatu kaum.

41- Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.

42- Apabila minuman keras tersebar luas.

43- Ramai golongan lelaki yang memakai sutera.

44- rtis-artis wanita diagung-agungkan.

45- Alat-alat muzik diguna-pakai (sebagai mata pencarian).

46- Kesilapan manusia hari ini mengutuk generasi terdahulu.

Apabila perkara yang disebutkan itu berlaku, maka kata Nabi, tunggulah ketika itu akan datang kepada manusia angin panas, ribut taufan, puting beliung dan bahaya-bahaya yang lain serta hingga berlaku penukaran corak dan rupa.

shahr albatnani



Wednesday, November 21, 2007

Teka Teki Imam Al-Ghazali

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya
lalu beliau bertanya ( Teka Teki ) :
Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?"
Murid 1 = " Orang tua "
Murid 2 = " Guru "
Murid 3 = " Teman "
Murid 4 = " Kaum kerabat "
Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar.
Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"
Murid 1 = " Negeri Cina "
Murid 2 = " Bulan "
Murid 3 = " Matahari "
Murid 4 = " Bintang-bintang "
Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".

Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?"
Murid 1 = " Gunung "
Murid 2 = " Matahari "
Murid 3 = " Bumi "
Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."

Imam Ghazali = " Apa yang paling berat didunia "
Murid 1 = " Baja "
Murid 2 = " Besi "
Murid 3 = " Gajah "
Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allad SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"
Murid 1 = " Kapas"
Murid 2 = " Angin "
Murid 3 = " Debu "
Murid 4 = " Daun-daun"
Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "

Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali didunia ini "
Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "
Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasan saudaranya sendiri "


shahr Albatnani

Tuesday, November 20, 2007

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.



8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Kita cukup teruja untuk meng'forward' kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??.....
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

shahr albatnani

Monday, November 19, 2007

Bersama T.G Prof. Dr Haron Din

SOALAN: Sering disebut dan diulas dalam majlis ilmu tentang agama-agama langit, dikatakan ada tiga dan kekal hingga ke hari ini iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam. Soalannya mengapakah agama langit daripada Allah Yang Satu, berbeza-beza, berlainan antara satu sama lain manakala pengikutnya bermusuhan sesama sendiri. Mohon Dato' perjelaskan? - MOHD DANIAL HARUN, Petaling Jaya

JAWAPAN: Agama langit disebut dalam istilah Arabnya, al-adyan as-samawiyyah, yang bererti agama-agama langit.

Ia adalah istilah keagamaan yang dirujukkan kepada Allah, yang diturunkan kepada manusia, berasaskan kepada wahyu yang sahih pada mulanya. Ia diturunkan kepada rasul-rasul yang dilantik Allah, untuk menerima dan menyampaikan wahyu tersebut kepada manusia tanpa ditokok dan ditambah.

Mengamal kitab-kitab Allah SWT memang ada perbezaan. Perbezaan dari segi istilah dan nama yang dimaksudkan kepada sesuatu kitab itu. Seperti Kitab Zabur, diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. disebutkan Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 163. Manakala Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Allah Musa a.s. dicatat dalam Surah al-Maaidah, ayat 44.

Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa a.s., dinyatakan dalam Surah al-Maaidah, ayat 46 dan al-Quranul Karim diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebut dalam Surah al-An'am ayat 19.

Memang nama-nama kitab Allah tersebut berbeza, namun inti pati sebenar daripada kitab itu tidak berbeza. Kitab-kitab itu membawa mesej yang sama dan yang paling asas adalah semua kitab memperkenalkan Allah sebagai Tuhan Yang Sebenar, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana yang menjadi pencipta alam ini.

Dia (Allah) sahaja yang wajib disembah. Allah yang sama tidak pernah berubah, maka kerana itu wahyu-Nya pada umumnya tidak berubah pada perkara-perkara pokok. Wajiblah manusia seluruhnya beriman dengan Allah dengan melaksanakan tuntutan yang wujud dalam kitab-kitab tersebut tanpa dirubah dan dipinda.

Seluruh Rasul-Rasul dari Adam a.s hingga kepada Muhammad s.a.w, mengajak manusia beriman kepada Allah Yang Esa, dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.

Firman Allah (mafhumnya): "Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan (al-Quran) kepadanya, dari Allah, tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata) "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-Rasul-Nya. Mereka berkata lagi, "Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali." (Surah al-Baqarah, ayat 285)

Semua Rasul disebut Rasulullah. Ertinya mereka semua adalah pesuruh Allah yang menerima wahyu dan menyamoaikan kepada manusia supaya sama-sama beriman kepada Allah.

Logiknya, jika semua Nabi dan Rasul dari Allah yang sama, bagaimana mungkin ajaran mereka beoleh berbeza khususnya pada perkara yang asas?

Sudah tentu, semuanya menyeru manusia beriman kepada Allah Yang Esa, percaya dengan kitab Allah yang diperturunkan melalui perantaraan malaikat, iaitu dari Allah mereka datang dan kepada-Nya mereka akan kembali.

Perbezaan yang ketara dan pertelingkahan antara satu sama lain, yang akhirnya nampak bertentangan antara agama lain, disebabkan, utamanya kerana Yahudi menyalahkan Nasrani, Nasrani menyalahkan Yahudi dan kedua-duanya pula menyalahkan Islam.

Islam pula menolak kefahaman yang dianuti oleh Yahudi dan Nasrani kerana tidak berpegang teguh dengan keaslian kitab-kitab Allah. Islam menolak kerana mereka mengubah ayat-ayat suci yang asal dalam kitab mereka.

Apabila agama Allah, khususnya wahyu Ilahi, diubah dan dipinda atau ditukar dan ditokok atas kehendak manusia, khususnya orang beragama di antara mereka, maka rosaklah agama Allah. Ia telah mewujudkan percanggahan antara satu sama lain.

Perihal berlakunya ubah pinda, tokok tambah terhadap agama yang dibawa oleh Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dikhabarkan Allah dalam firmannya (mafhumnya): "Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata kepada,"kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati), "kami tidak akan menurut." (Mereka berkata) "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan) 'raa'ina'; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, "kami dengan dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali dengan iman yang amat tipis." (Surah an-Nisa, ayat 46)

Perihal tokok tambah dan perubahan yang dilakukan dalam kitab-kitab (agama) terdahulu disebutkan Allah di dalam al-Quran antaranya Surah Maaidah (13 dan 41), al-Baqarah (75) dan banyak ayat-ayat lain.

Oleh kerana itu, maka agama-agama sebelum Muhammad dan kitab-kitab mereka dimansuhkan Allah semuanya dan digantikan dengan al-Quran.

Jika semua sudah kembali kepada al-Quran pastikan kesemuanya akan bersatu pada prinsip yang benar. Pertentangan yang berlaku antara sesama agama Allah, sebenarnya pertentangan bukan pada asas yang benar, tetapi kerana berlaku penyelewengan akibat tidak taat kepada perintah Allah.

Nabi Isa a.s. memberitahu kepada pengikutnya bahawa sebelum beliau, Allah telah menurunkan Taurah dan Zabur. Jika penganut agama samawi boleh menerima Taurat, Zabur dan Injil sebagai kitab Allah, mengapa mereka tidak boleh menerima al-Quran?

Begitu juga mengapa orang Yahudi percaya dan boleh menerima Ibrahim, Musa, Ayub, Ismail dan Yaakub sebagai Nabi, mengapa mereka tidak boleh percaya Isa sebagai Rasul? Begitu juga mereka harus menerima Muhammad sebagai Rasul yang diutuskan Allah.

Inilah pokok yang mustahak untuk saudara fahami, bahawasanya perbezaan yang wujud adalah kerana sifat manusia yang mengingkari Allah. Waalhua'lam

shahr Albatnani

Sunday, November 18, 2007

Himpunan Khutbah Masyhur

Khutbah Jumaat : Maju dengan kebendaan, akhlak musnah
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Fri | Nov 16, 07 | 11:28:26 am

Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar r.a. Daripada Amirul Mukminin Umar ibnu Khattab, katanya: Sedang kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda-tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun daripada kami yang mengenalinya.

Tiba-tiba dia duduk terlalu dekat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut dengan Rasulullah s.a.w. Dia meletak kedua belah tangannya di atas kedua paha Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa dia Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan yakin bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa pada bulan Ramadan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahilharam sekiranya mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Betul.

Sayidina Umar berkata: Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkannya apa yang ditanya. Dia bertanya lagi, apa dia iman. Sabda Rasulullah s.a.w. iman itu engkau percaya kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul, kepada hari akhirat dan kepada qadar baik dan jahatnya. Dia berkata: Ya, benar!

Dia bertanya lagi, apa dia ihsan. Jawab Rasulullah s.a.w. ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan kiamat, bilakah berlaku kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku tanda-tanda kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang-orang yang bangsat dan papa, bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan gembala-gembala kambing, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.

Sayidina Umar berkata: Kami terdiam. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi. Jawab Umar: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Itulah Jibril, dia datang kepada kamu mengajar tentang agama kamu. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ia merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT di atas muka bumi ini agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah di kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.

Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya? Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi (dengan menamakan sebagai bangunan pencakar langit), begitu sombong dan angkuhnya manusia sedangkan di sana masih ada mereka yang miskin, kebuluran, terbiar sakit yang tidak ada wang untuk membiayai kos perubatan, tidak ada harta untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa puncanya adalah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT. Manusia telah merosakkan iman, Islam dan ihsan. Iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT. Tetapi hari ini kita melihat umat Islam lemah dan ada yang runtuh musnah. Mereka lari daripada petunjuk Allah SWT dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Allah SWT mengajar mereka dengan kemusnahan itu agar mereka sedar dan insaf.

Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara. Manusia telah meninggalkan syariat Allah SWT dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah-olah lebih pandai daripada Allah SWT. Ada juga yang terlibat dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas-batas syarak. Manakala ihsan itu ialah akhlak dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk-nunjuk Islam tetapi dalam masa yang sama merobek-robekkan Islam. Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga iaitu ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak dan isteri serta sebaliknya. Hubungan keluarga musnah dan hancur. Sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengan Allah, berbangga-bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. telah berlaku. Perhatikanlah dengan hati yang ikhlas.

Firman Allah (maksudnya): Dan apabila Kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampung dan negeri, Kami jadikan orang-orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah Kami, tiba-tiba mereka melakukan kejahatan, maksiat. Maka benarlah ke atas Allah firman-Nya, maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya. (Al-Israk: 16)


shahr albatnani

Friday, November 16, 2007

Dari Meja Pengarang Kawah Ilmu




Assalamualaikum w.b.t dan Salam sejahtera untuk semua wagra Cyber yang lawati laman ini.
laman ini akan dibuka tidak lama lagi
Wassalam

shahr Albatnani