Wednesday, August 13, 2008

Awasi unsur syirik jika guna kayu koka




Soalan
Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?
Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,Damansara, Selangor

Jawapan dari TG Dr. Haron Din

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.
Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.
Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.
Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.
Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.
Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.
Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)
Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.
Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.
Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.
Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.
Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.
Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.
Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.
Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.
Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.
Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.
Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.
Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.
Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.
Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.
Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.
Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."
Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."
Wallahua'lam.

Perihal Nabi Ayub sakit teruk



Soalan
Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau menceritakan perihal Nabi Allah Ayub a.s. yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub a.s. berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat. Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub a.s. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon Dato' jelaskan?

FAUZI ABDUL RAHMAN, Gombak, Kuala Lumpur

Jawapan dari TG Dr. Haron Din

Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya):"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41)Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya.Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.
Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya.Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya.Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal.Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti.Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu.Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka.Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi."Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84)Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya.
Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan.Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya
Wallahua'lam.

kursus pengurusan jenazah di I.L.P.K.L

layari web rasmi ilpkl :
"melahirkan tenaga mahir negara yang beriman dan bertaqwa"

Thursday, July 24, 2008

TG NIK AZIZ RAIH ANUGERAH KEAMANAN NOBEL VERSI ASIA


Berita sehebat ini TIDAK AKN DISIARKAN MEDIA ARUS PERDANA kerana anugerah ini di menangi oleh TGNA, walau bagaimanapun kita mesti tahu dan berbangga dengan anugerah kepada pemimpin yang tersayang ini.

Tahniah buat TG Nik Aziz dengan pemberian anugerah daripada Gusi Peace Price Foundation yang beribu pejabat di Manila. Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun dan dikatakan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk mendapat anugerah yayasan itu.

Anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi , Insyaallah pada bulan November ini di Manila, Filipina.Menurutnya, TG Nik Aziz adalah tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Sebelum ini, anak Kelantan, Datuk Ismail Mohammad dianugerahkan pada 2006 menggantikan Tun Dr Mahathir yang dikatakan tidak boleh hadir untuk menerima anugerah itu pada tahun tersebut. Ini kerana peraturan yayasan mengatakan bahawa penerima anugerah hendaklah menghadirkan diri dan terima sendiri anugerah yang diberikan.Untuk tahun ini, sebanyak 1,490 orang tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah itu. Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi.

Sekali lagi, tahniah diucapkan buat TG Nik Aziz. Semoga dengan pemberian anugerah ini dapat membuka mata Malaysia secara amnya dan dunia, khasnya. Orangkita mengharapkan media arus perdana berbahasa Melayu dapat menyiarkan artikel anugerah yang diperolehi oleh TG Nik Aziz ini di dada akhbar mereka. Biar semua orang nilai sendiri ketokohan TG Nik Aziz ini.

Monday, July 21, 2008

Permohonana kepada ALLAH s.w.a


DUNIA: Yusof Islam menang saman terhadap media


LONDON - Penyanyi terkenal Britain yang kini telah memeluk agama Islam, Yusuf Islam (gambar) semalam menerima bayaran ganti rugi dan permohonan maaf dari sebuah agensi berita.

Agensi berita tersebut, World Entertainment News Network melaporkan Yusuf enggan bercakap dengan wanita yang tidak memakai tudung dalam satu majlis anugerah. Seorang peguam Yusuf, Adam Tudor memberitahu mahkamah Tinggi London bahawa cerita itu disiarkan pada Mac tahun lalu dan digunakan oleh sebuah laman web yang dilayari oleh 2.2 juta pengguna internet sebulan."Artikel itu menggambarkan Yusuf adalah seorang yang berfikiran sempit kerana dia enggan bercakap atau menegur wanita yang tidak bertudung," katanya.

Yusuf atau namanya ketika bergelar penyanyi rock, Cat Stevan terkenal dengan lagu Catch Bull at Four dan albumnya dijual melebihi 60 juta unit di seluruh dunia.

Wednesday, July 9, 2008

Pengalamanku bersama Syeikh Ahmad Yassin di dalam penjara

Oleh : Saamir Khuwairah (wartawan www.islam-online.net) yang telah menemuramah Ir. Farid Ziadah yang pernah mendiami sel penjara bersama as-syahid Syeikh Ahmad Yassin.

Ketika pihak rejim Zionis Israel memberikan peluang kepada tahanan HAMAS di penjara pusat Nablus untuk ditukarkan ke Kufr Yuna pada tahun 1994, Farid Ziadah , salah seorang aktivis HAMAS yang dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis tidak melepaskan peluang tersebut. Ini kerana itulah sahaja peluangnya untuk bertemu dengan seorang individu yang hebat yang sentiasa beliau impikan untuk bertemu dengan individu tersebut.

Ketika beliau ditemui untuk di wawancara di rumahnya di sebuah kampung yang bernama Madama di Selatan Nablus, beliau telah mengimbas kembali kenangannya bersama Syeikh Ahmad Yassin di penjara Kufr Yuna yang tidak dapat dilupakannya. Beliau telah menceritakan bagaimana sepanjang tempoh beliau bersama dengan Syeikh Yassin di dalam satu sel untuk berkhidmat kepada pejuang agung tersebut dan amat berbangga dengan tempoh yang beliau habiskan untuk khidmat tersebut.

Ziadah menceritakan: Ianya semua bermula apabila para tahanan HAMAS diberikan peluang untuk berpindah ke penjara Kufr Yuna di mana Syeikh Yassin tinggal. Saya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk bertemu lebih dekat dengan Syeikh Yassin yang merupakan satu gambaran kepada mukjizat keimanan di zaman ini.

Ziadah menambah lagi : Bukan hanya saya seorang sahaja yang berusaha untuk bertemu dengan Syeikh Yassin , malah ramai lagi yang terdiri daripada penyokong-penyokong dan murid- murid Syeikh turut meminta untuk bersama dengannya. Keadaan ini telah memaksa anggota- anggota HAMAS di penjara pusat Nablus untuk melakukan undi bagi memilih siapa yang layak untuk dipindahkan ke Kufr Yuna demi memberikan khidmat kepada Syeikh Yassin yang amat mereka sayangi. Ditakdirkan oleh Allah, Ziadah telah terpilih untuk tugas yang mulia tersebut.

Program seharian Syeikh Ahmad Yassin di penjara
Ziadah telah menceritakan hari-hari yang dipenuhi dengan kasih sayang, kerinduan, keimanan yang dilalui olehnya bersama dengan Syeikh Yassin dan juga keperitan yang dialaminya ketika berpisah dengan Syeikh tersebut, walaupun perpisahan tersebut adalah untuk pembebasannya dari penjara. Jika anda ingin memperkatakan tentang Syeikh Yassin, anda akan memperkatakan tentang program -program hidupnya yang padat, dan seolah-olah tubuhnya yang lemah itu bukanlah bekas untuk menampung ruh dan jiwanya yang besar dan aktif tersebut.

Beliau mengatakan : Beliau sentiasa bangun pada pukul 3 pagi untuk bertahajjud, membaca al-Quran sementara menantikan solat Subuh

Al-Quran sentiasa menjadi teman karib Syeikh Ahmad Yassin


Waktu-waktu selepas solat Subuh beliau habiskan untuk bersama dengan tuhannya dengan membaca al-Quran. Waktu-waktu tersebut seolah- olah melupakan beliau terhadap kesempitan hidup beliau di penjara dan membuka keluasan rahmat Allah di hadapannya. Aktiviti tersebut berterusan sehinggalah pintu sel dibuka untuk para tahanan keluar untuk bertemu di antara satu dengan lain di dalam kawasan penjara.

Waktu tersebut digunakan oleh Syeikh untuk mengambil udara segar dan bertemu dengan para tahanan yang lain. Ziadah dan juga rakan- rakan yang lain memapah Syeikh yang ingin bersama dengan para tahanan lain yang melakukan riadah. Ia menunjukkan seolah-olah Syeikh tidak mahu menyerah dengan lumpuh yang dihadapinya, dan seolah-olah beliau ingin membuktikan kepada pegawai-pegawai penjara bahawa beliau tetap bertenaga dan tidak akan menyerah kalah.

Kami juga akan mengurut dan menggerak- gerakkan sendi-sendi Syeikh sebagai salah satu daripada rawatan terapi untuk tubuhnya yang lumpuh itu, dan kami bagai dapat merasakan darah yang mengalir itu terkandung di dalamnya semangat perjuangan yang tidak akan terpadam. Selepas itu kami akan masuk semula ke dalam sel, di mana Syeikh akan berwudhu dan bersolat dhuha, sambung beliau.

Perpustakaan yang intensif di dalam sel yang kecil

Selesai sahaja solat, Syeikh akan mengkhususkan waktunya untuk ilmu. Dia akan segera dibawa ke perpustakaan mininya yang intensif dengan pelbagai buku di dalam selnya yang kecil. Beliau tidak jemu menatapi helaian-helaian buku di perpustakaan tersebut demi menajamkan pemikirannya. Menurut Ziadah, beliau bukan hanya membaca, malah daya ingatannya yang kuat telah membolehkannya menghafal maklumat hatta isi kandungan buku-buku yang dibacanya. Beliau amat menggemari buku gal-Bidayah wa al-Nihayah(buku sejarah Islam) karangan Ibnu Kathir yang mengandungi 20 jilid. Beliau juga sering meminta pembantu-pembantunya untuk menguji ingatan dan hafalannya terhadap apa yang beliau dapat dari buku tersebut. Lebih menarik lagi, beliau ingatkan muka surat yang terkandung di dalamnya maklumat yang beliau telah baca.

Selesai aktiviti keilmuan, beliau akan bersolat Zohor bersama dengan pembantu- pembantunya, dan akan tidur selepas itu selama sejam, dan apabila beliau bangkit dari tidurnya beliau akan menghabiskan waktu menonton rancangan berita televisyen, mendengar radio dan juga mendengar nasyid-nasyid Islami. Beliau amat menggemari nasyid-nasyid Islami. Selepas aktiviti tersebut, Syeikh akan segera ke perpustakaannya kembali untuk membaca sehingga tiba waktu Asar. Selepas Asar beliau akan membaca al-Quran yang menjadi wirid hariannya. Selesai sahaja menghabiskan wirid-wirid tersebut, beliau aka n makan bersama pembantu-pembantunya. Mereka hanya makan makanan yang mereka masak sendiri sahaja dan bukan yang disediakan oleh pihak penjara. Selepas itu mereka keluar bersama untuk beriadah. Waktu riadah mereka diasingkan daripada waktu riadah banduan-banduan jenayah, agar mereka tidak bertemu dan tidak diganggu.

Syeikh akan kembali ke selnya untuk berwudhu dan mempersiapkan diri untuk solat Maghrib bersama dengan yang lain. Usai solat Maghrib mereka akan menunaikan solat sunat sambil menantikan waktu Isyak. Selesai solat Isyak, mereka akan bertadarrus dan menyemak hafalan al-Quran mereka bersama Syeikh.

Tidak untuk bermalas-malasan dan membuang masa

Syeikh tidak sukakan keadaan santai dan bermalas-malasan pada waktu malam. Beliau juga tidak suka berjaga sehingga lewat malam. Beliau juga amat sedikit meminum teh dan tidak langsung meminum kopi. Biasanya mereka akan berehat- rehat sahaja sebelum tidur.

Semangat Syeikh Ahmad Yassin membakar sehingga kini walaupun jasadnya hancur di mamah roket rejim Zionis


Beliau juga seorang yang amat mudah mesra dan suka bergurau, tetapi tidak berlebihan. Walaupun keluarganya tidak dapat menziarahinya selalu, namun beliau tidak pula merasakan kesedihan seperti kebanyakan banduan yang sentiasa merindukan ahli keluarga mereka.

Ziadah juga menceritakan bagaimana Syeikh menghidapi sakit perut dan telinganya dan sentiasa sabar menghadapinya. Telinganya juga tidak dapat mendengar dengan normal, malah para pembantunya sering memasangkan ear-phone untuk Syeikh mendengar televisyen.

Rakan penjaraku

Ziadah juga sempat menceritakan ketajaman pemikiran Syeikh Yassin dan juga keperibadiannya yang diwarnai dengan pelbagai warna politik, figur agamawan, figur intelek dan juga universalitinya. Ini semua membuatkan Syeikh mudah didampingi dan didekati oleh sesiapa sahaja.

Beliau sempat menceritakan perihal gelas kecil milik Syeikh Ahmad Yassin yang kelihatan agak lama digunakan olehnya. Bila beliau menawarkan untuk menggantikannya dengan yang baru, Syeikh segera menolak dan mengatakan gelas itulah temannya di penjara semenjak dahulu lagi. Syeikh juga mengatakan saiz gelas itu sesuai untuknya menyukat bilangan air yang diminumnya seharian. Apabila dibalas oleh Ziadah bahawa beliau akan menggantikanya dengan gelas yang baru yang sama saiz dengannya Syeikh segera menjawab : gApalah untungnya menggantikan sesuatu yang lama dengan yang baru jika yang lama masih lagi elok

Perpisahan yang memeritkan

Ketika Ziadah menceritakan saat perpisahan beliau dengan Syeikh, beliau tidak dapat mengawal emosinya, dan air matanya bagaikan empangan yang pecah tanpa dapat dihalang alirannya. Kata beliau , Ketika pengurusan penjara memberitahu bahawa saya akan dibebaskan setelah selesai menjalani dua pertiga dari tempoh tahanan saya, saya langsung tidak berminat untuk keluar sepertimana halnya banduan-banduan yang lain. Saya merasakan keberadaan bersama Syeikh Yassin di dalam penjara lebih berharga buat diri saya, namun Syeikh memberikan semangat kepada saya untuk keluar dari penjara. Akhirnya saya akur dan menurut perintah Syeikh lantas keluar meninggalkan penjara tersebut.

Saat pengumuman pembebasannya oleh pihak mahkamah yang sepatutnya diserikan dengan perasaan kegembiraan bertukar kepada tangisan kesedihan kerana tidak sanggup menghadapi saat perpisahan dengan Syeikh Ahmad Yassin.

Seminggu sebelum tarikh pembebasannya dia berazam untuk mengumpul sebanyak mungkin ilmu dari Syeikh, namun semuanya berkecai apabila dia diperintahkan untuk dibebaskan dengan segera. Beliau walaubagaimanapun enggan meninggalkan Syeikh selagi pihak penjara tidak menghantar pembantu baru untuk Syeikh. Apabila seorang pembantu baru yang didatangkan dari penjara lain dihantar kepada Syeikh Yassin, barulah dia dapat meninggalkan Syeikh tersebut.

Saat perpisahan yang dilaluinya amat sedih dan pilu dan tidak mungkin beliau melupakannya. Dia masih terbayangkan bagaimana Syeikh Ahmad Yassin telah menyuruhnya pergi selepas beliau memeluk Syeikh dan tenggelam di dalam tangisannya. Susuk tubuh Syeikh melambaikan tangannya di lapang riadah masih terbayang di dalam kotak pemikirannya sehingga kini. Perpisahan kali pertama itu tidak akan dapat dilupakan sepertimana dia tidak melupakan perpisahan kali kedua apabila tubuh Syeikh Ahmad Yassin hancur dimamah roket tentera Israel .

Syeikh yang kuat berpuasa

Bukan hanya Ziadah seorang sahaja yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin. Sameeh Alawi, seorang anggota HAMAS dari Nablus juga pernah berkhidmat untuk Syeikh di dalam penjara selama 100 hari. Hari-hari bersama Syeikh Ahmad Yassin adalah saat-saat yang paling indah dalam hidupnya, walaupun sepanjang 100 hari tersebut mereka ditempatkan di dalam sel yang amat kecil yang tiada cahaya matahari dapat menerobos masuk ke dalamnya.

Sameeh ketika menceritakan perihal Syeikh Ahmad Yassin telah mengatakan : Syeikh akan bangun pagi dua jam sebelum solat Subuh untuk menunaikan Qiyamullail. Di siang harinya pula beliau amat rajin berpuasa. Beliau tidak ketinggalan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Beliau juga banyak menghabiskan waktunya untuk membaca al-Quran, dan mendengarnya bersama dengan para pemuda di penjara. Syeikh membaca 3 juzuk dalam sehari dan mendengar bacaan al-Quran sejuzuk sehari. Syeikh amat gemar membaca buku al-Bidayah wa al-Nihayah, mendengar berita dan juga menonton rancangan-rancangan agama di T.V.

Menurut Alawi lagi : Para pemuda di penjara berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada Syeikh. Mereka juga gemar mendengar kata-kata dan juga nasihat-nasihat Syeikh. Walaupun beliau tidak banyak bercakap, namun kata-katanya yang sedikit itu penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Antara mereka yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau di dalam penjara ialah Syeikh Diyaf al-Samur dari Ramallah, di mana Syeikh telah menulis surat kepadanya dengan menggunakan tulisan tangannya sendiri dengan penuh kepayahan. Ini kerana Syeikh amat sayangkan beliau. Antara yang lain juga ialah Syeikh Naaji Sinqrit dari Khalil (Hebron), Syeikh Sameeh Zainuddin, seorang akauntan dari Bait Lid berdekatan dengan bandar Netanya, Syeikh Nidhal Abu Saadah dari Bait Dujan, dan juga Ir. Farid Ziadah dari Madama.

Hatta pegawai penjara pun sukakan Syeikh Yassin

Syeikh bukan hanya disukai oleh para pemuda muslim yang bersama dengannya, yang lebih menarik lagi, para pegawai penjara Israel yang berketurunan Yahudi pun ada yang mengkagumi dan menyukai beliau. Antaranya ialah salah seorang pegawai penjara yang merahsiakan namanya telah mengatakan : Saya tidak melihat apa-apa pun pada peribadi Syeikh Yassin yang menunjukkan beliau seorang pengganas.

Saya merasakan ketenangan dan juga berasa senang sekali jika dapat mengawalnya, hatta apabila berdiri berdekatan dengannya pun. Inilah yang mungkin dapat dirasakan oleh para pemuda yang telah berkhidmat kepadanya

Beliau menambah : Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau (Syeikh) di dalam penjara ketika beliau bersama rakan-rakanya. Dan saya dapat merasakan bahawa HAMAS akan mengamuk jika Syeikh ini diapa-apakan oleh sesiapa pun. Beliau adalah bapa spiritual kepada HAMAS!. (Kenyataan ini telah dinyatakan oleh pegawai berkenaan di dalam sebuah rancangan Talk Show di salah sebuah rangkaian Televisyen Israel pada malam Sabtu 3 / 4 / 2003).